Breaking

Fidyah dan Pengiraan Kadar Fidyah

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pada saat beberapa hari lagi Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang, ingin saya kongsikan berkenaan dengan Fidyah. 



Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang telah baligh kerana meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan. - PPZ MAIWP


Hukum membayar fidyah bagi yang meninggalkan puasa Ramadhan adalah wajib dengan nilai yang sama dengan secupak makanan asasi di sesebuah tempat bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan dan tidak sempat digantikan. Sebagai contohnya di Malaysia, beras merupakan makanan asasi. 

Kadar Fidyah

Secara keseluruhannya, kadar fidyah adalah hampir sama di kebanyakan negeri di Malaysia. Namun, ketetapan kadar ini adalah di bawah tanggungjawab Pusat Pungutan Zakat / Lembaga Zakat negeri masing-masing.

Kebanyakan negeri menggunakan kadar fidyah dengan nilai secupak beras yang menyamai 650 gram beras. Untuk memudahkan pengiraan, secupak adalah 1/4 daripada 1 gantang Baghdad yang digunakan sebagai kadar zakat fitrah. Oleh itu, kadar fidyah ini berubah-ubah mengikut tahun semasa. 


Sebagai contoh bagi tahun 2018M / 1439H, kadar zakat fitrah adalah RM7.00 bagi kebanyakan tempat. Oleh itu, kadar fidyah adalah 1/4 daripada RM7.00 = RM1.75. Namun, terdapat juga negeri tertentu yang melebihkan sedikit kadar fidyah, sebagai contohnya RM1.80. Ini bertujuan sebagai langkah berjaga-jaga (Bayar lebih, pahala pun lebih, InsyaAllah)

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, PPZ menggunakan kaedah pengiraan yang lain pula. Berdasarkan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 Pada 30 Mei 2017 yang telah membincangkan tentang penambahbaikan pelaksanaan fidyah dan kaffarah di Bahagian baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP):

Kadar Bayaran Fidyah adalah sebanyak RM4.00
Kadar ini berdasarkan kepada nilai ½ gantang gandum iaitu sebanyak RM3.00 dan satu ringgit tambahan sebagai langkah berjaga-jaga.

Yang mana menjadi pilihan? Tepuk dada, tanya iman anda.


Kaedah Pengiraan Fidyah

Terdapat dua kaedah yang diguna pakai dalam pengiraan fidyah, iaitu kaedah tanpa gandaan dan kaedah dengan gandaan. Untuk memudahkan contoh pengiraan dibuat, saya mengambil kadar fidyah RM1.75 sehari seperti yang diamalkan oleh kebanyakan negeri.

1. Kaedah Tanpa Gandaan
Kaedah tanpa gandaan merupakan kaedah pengiraan fidyah yang termudah, di mana pembayar fidyah hanya perlu menjumlahkan bilangan hari puasa yang ditinggalkan dan didarabkan dengan kadar fidyah semasa.


Contoh: 
Bilangan hari puasa yang ditinggalkan = 10 hari
Kadar fidyah = RM1.75 (iaitu 1/4 daripada RM7.00)
Jumlah fidyah yang perlu dibayar = 10 hari x RM1.75 = RM17.50

Kaedah ini digunapakai di beberapa buah negeri di Malaysia, antaranya adalah Selangor dan juga Kedah (bagi yang kurang berkemampuan)

2. Kaedah Gandaan
Kaedah gandaan pula merupakan kaedah pengiraan fidyah dengan mengambil kira bilangan hari puasa yang ditinggalkan mengikut tahun. 


Sebagai contoh situasi: Pn. Yana telah meninggalkan puasa 10 hari pada tahun 2017M / 1438H, 6 hari pada tahun 2016M/ 1437H dan 3 hari pada tahun 2015M / 1436H.

Formula pengiraan fidyah kaedah gandaan = bil. hari x bil tahun gandaan x kadar fidyah.

Bilangan tahun gandaan = tahun semasa - tahun kiraan

Tahun semasa = 2018M / 1439H

Bagi tahun 2017M / 1438H, bilangan tahun gandaan = 1
Bagi tahun 2016M/ 1437H, bilangan tahun gandaan = 2

Bagi tahun 2015M / 1436H, bilangan tahun gandaan = 3

Pengiraan:

Bagi tahun 2017M / 1438H  10 hari x 1 x RM 1.75 = RM 17.50
Bagi tahun 2016M/ 1437H     6 hari x 2 x RM 1.75 = RM 21.00
Bagi tahun 2015M / 1436H    3 hari x 3 x RM 1.75 = RM 15.75

Jumlah bayaran fidyah pada tahun 2018M / 1439H = RM 17.50 + RM 21.00 + RM 15.75 = RM54.25

Kaedah kedua ini digunakan di kebanyakan negeri di Malaysia. 


Kalkulator Fidyah

Terdapat banyak kalkulator fidyah yang boleh didapati di laman web PPZ / LZ.

Lembaga Zakat Negeri Kedah - Klik Sini


Lembaga Zakat Selangor - Klik Sini
 

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan - Klik Sini

Pusat Zakat Negeri Sembilan - Klik Sini

Baitulmal Majlis Islam Sarawak - Klik Sini

Namun, admin UrusDuit4U juga turut membangunkan tapak Excel bagi pengiraan fidyah secara offline dinamakan sebagai Kalkulator Fidyah v2018. Jika berminat boleh dimuat turun di sini. 

Tapak yang dibangunkan ini bertujuan bagi memudahkan pengiraan bagi fidyah hingga 5 tahun ke belakang. Anda hanya perlu masukkan nama, tahun taksiran fidyah, kadar fidyah semasa serta bilangan puasa yang tidak sempat diqadha / ditinggalkan.

Setelah maklumat dimasukkan, jumlah fidyah yang perlu dibayar dikira secara automatik menggunakan kedua-dua kaedah - kaedah gandaan dan tanpa gandaan.

Klik di sini untuk mut turun


Akhir kata, selamat menunaikan kewajipan membayar fidyah bagi menggantikan puasa yang tidak sempat diqadha. Namun, jangan lupa walaupun anda telah membayar fidyah, bilangan hari puasa tersebut tetap perlu digantikan kecuali bagi individu yang tidak berkemampuan dari segi kudrat untuk berpuasa atas masalah kesihatan misalnya.

MOHD RIDZUAN BIN MOHD TAIB
Al-Kindy Solution
as part of INFAQ Consultancy


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.