Breaking

Simpanan VS Pelaburan

Mungkin terdapat segelintir di antara kita yang tidak betul-betul memahami perbezaan antara simpanan dan pelaburan. Kekeliruan ini boleh menyebabkan kita tidak dapat merancang dan laksanakan pengurusan kewangan yang berkesan.



Simpanan dan pelaburan merupakan instrumen dalam pengurusan kewangan. Namun kedua-duanya mempunyai perbezaan fungsi dan cara pelaksanaannya.


Simpanan

Simpanan adalah sebahagian wang yang diketepikan daripada pendapatan bulanan dan disimpan di tempat yang selamat. Kebiasaannya, simpanan ini disimpan di tempat yang mudah diambil, misalnya bawah bantal (masih ada lagi berlaku) dan yang paling popular di era ini adalah di institusi kewangan seperti bank.

Fungsi utama simpanan adalah untuk persediaan bagi menghadapi situasi kecemasan / kontigensi yang memerlukan wang dengan segera. Oleh sebab itulah, simpanan adalah instrumen yang paling sesuai untuk kegunaan kecemasan kerana mudah dicairkan daripada tempat simpanan. Ia juga sebahagian daripada perancangan kewangan jangka masa pendek ke sederhana.

Dari aspek risiko pula, simpanan di institusi kewangan adalah berisiko rendah dan hampir kepada tiada risiko. Kenapa saya kata tiada risiko? Ini kerana kebanyakan akaun simpanan di bank kini dilindungi oleh PIDM. Justeru, jumlah wang simpanan anda dijamin jika institusi kewangan diisytiharkan muflis.

Oleh kerana risikonya rendah, maka pulangan dalam bentuk dividen kepada penyimpan juga rendah. Namun, ianya memadai kerana fungsinya adalah untuk menyimpan sahaja.


Pelaburan

Berbeza pula dengan instrumen pelaburan, ianya adalah sebahagian wang yang kita asingkan dan diletakkan di institusi pelaburan yang tertentu untuk menjana pulangan yang baik. Fungsi utama pelaburan adalah untuk mendapatkan peningkatan harga modal dan disusuli dengan agihan pendapatan (jika ada).

Oleh itu, pelaburan adalah perancangan kewangan jangka masa sederhana ke panjang. Biasanya hasil pelaburan boleh kita lihat sekurang-kurangnya 3 - 5 tahun setelah melabur.

Pelaburan mempunyai kelas risiko yang tersendiri, bergantung kepada jenis pelaburan yang disertai. Risiko pelaburan boleh jadi rendah, sederhana dan juga boleh berisiko tinggi. Pelaburan juga boleh menyebabkan kehilangan modal (bagi pelaburan berisiko tinggi). Namun, pulangan yang boleh dijana adalah lebih kompetetif dan agak lumayan jika pelaburan dibuat dengan ilmu secukupnya dan strategi yang tepat.

Dari segi kecairan pula, pelaburan memerlukan sedikit masa untuk ditukarkan kepada wang tunai. Ianya tidaklah sesegera mengambil wang di ATM atau over the counter di bank.

Secara ringkaskan, perbandingan antara simpanan dan pelaburan diringkaskan seperti rajah di bawah:



Rancang Wang dengan Simpanan dan Pelaburan

Walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan yang tertentu, kita tidak boleh menafikan fungsi salah satu daripada instrumen pengurusan kewangan ini. Untuk ingatan kita bersama, rancanglah wang anda dengan instrumen yang betul dan tepat agar anda dapat mecapai matlamat kewangan anda.

"Plan Your Wealth, Change Your Life"

MOHD RIDZUAN BIN MOHD TAIB
013-9106864
Al-Kindy Solution
as part of INFAQ Consultancy


1 ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.